Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) membidas kenyataan  Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mohamad Salleh yang menafikan pasukan keselamatan pilih kasih dengan bertindak terhadap pelajar yang memijak gambar Perdana Menteri tetapi membiarkan insiden sama terhadap pemimpin pembangkang. DPPM sebaliknya tetap menganggap pihak polis sebenarnya mengamalkan dwi standard dalam memastikan keselamatan negara.

Insiden memijak gambar sebenarnya bukan hanya berlaku ke atas PM, pemimpin pembangkang juga diperlakukan sebelum ini. Malah ada gambar YAB Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Menteri Besar Kelantan dikencing suatu ketika dahulu. Apa tindakan polis ketika kejadian tersebut?

Jika pihak polis hanya bertindak setelah mendapat laporan orang ramai, bagaimana pula dengan siri laporan polis yang dibuat oleh Pakatan Rakyat terhadap penyelewengan, penipuan,  rasuah, kezaliman, serta kenyataan-kenyataan yang berunsur menghasut, memfitnah, mengugut, biadap dan lain-lain lagi yang dilakukan oleh pemimpin BN? Apakah pihak polis telah bertindak dengan cepat dan agresif sebagaimana mereka bertindak ke atas laporan insiden memijak gambar PM?

DPPM juga mempersoalkan, jika insiden pijak gambar PM dijadikan suatu kesalahan serius, bagaimana pula dengan insiden menyerang pemimpin Pakatan Rakyat di sebuah masjid di Alor Setar beberapa hari lalu? Apakah menyerang individu dengan niat untuk mencederakan dalam insititusi mulia seperti masjid tidak dianggap serius? Adakah setangkas itu pihak polis bertindak menangkap penyerang yang bertindak menyimbah cat ke rumah pemimpin PAS seperti Mazlan Aliman, membaling Molotov Cocktail ke rumah Haji Mohamad Sabu serta cubaan membakar rumah Haji Dzulkifli Ahmad di Johor?

Jika demikian keadaannya, DPPM menyeru pimpinan Pakatan Rakyat Kedah atau orang ramai untuk membuat laporan polis insiden Datuk Seri Anwar Ibrahim diserang di Alor Setar, Kedah. DPPM juga menyeru orang ramai untuk tampil membuat laporan terhadap insiden gambar pemimpin Pakatan Rakyat dipijak serta insiden gambar YAB Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz dihina dan dikencing oleh individu tertentu.

DPPM mahu rakyat menjadi saksi  dengan melihat sejauh mana telus dan tidak pilih kasihnya pihak polis dalam menjalankan siasatan terhadap kesemua insiden tersebut. Pihak media pula dijadikan sandaran sejauh mana liputan adil yang diberikan terhadap insiden menghina pemimpin PR sama seperti memijak gambar PM.


Leave a Reply