Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) mahu Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC)
lebih tegas dan proaktif dalam menyelesai kemelut berdarah di Syria yang
sudah berlarutan hampir 23 bulan.
Pengerusi Lajnah Antarabangsa
DPPM, Dr Raja Ahmad Al Hiss berkata, tindakan segera dari OIC mampu
menyelamatkan rakyat negara itu khususnya umat Islam daripada dibunuh
askar regim Basyar Al Assad.
"OIC tidak boleh hanya mengambil
langkah tunggu dan lihat dengan rakyat Syria setiap hari disembelih dan
dibunuh dengan kejam meskipun gencatan senjata telah diisytiharkan di
negara tersebut menjelang perayaan Aidil Adha.
"Umat Islam
mengharapkan supaya OIC berperanan penting bagi mengembalikan keamanan
ummah di negara tersebut bahkan di seluruh dunia," katanya dalam satu
kenyataan.
Sehingga kini, kemelut Syria telah mengorbankan lebih 30,000 nyawa yang kebanyakannya orang awam.
Raja
Ahmad yang juga Naib Ketua DPPM berkata, pihaknya turut menolak keras
campurtangan asing khususnya Amerika Syarikat serta negara lain seperti
Iran, Rusia dan China dalam kemelut Syria ini.
"DPPM menegaskan,
hanya rakyat Syria berhak menentukan kehidupan dan pemimpin negara
mereka tanpa campurtangan kuasa dan negara asing.
"Justeru, kerajaan Syria perlu berusaha mengembalikan keamanan di negara tersebut melalui kaedah perdamaian," katanya.
Pada
masa sama, beliau turut mendesak kerajaan Jordan memberikan jaminan
perlindungan keselamatan terhadap rakyat Syria di kem-kem pelarian di
sempadan Jordan yang kian bertambah.
Sensory Overload dan ADHD Dewasa
1 week ago