Dewan Pemuda PAS Negeri Perak menempelak Pergerakan Pemuda Umno Negeri Perak dan Pergerakan Pemuda Barisan Nasional (BN) Negeri Perak yang mencabar agar menyatakan pendirian berikutan  kenyataan Nurul Izzah Anwar, Naib Presiden PKR yang dikatakan membenarkan kejadian murtad oleh umat Islam di Malaysia. 

Persoalan mudah kami, siapakah yang telah berkuasa memerintah negara Malaysia lebih 50 tahun? Bukankah sebelum ini pada tahun 2006 kenyataan daripada Tan Sri (Dr) Haji Harussani Zakaria, Mufti Kerajaan Negeri Perak telah mengatakan menerima laporan menerusi kajian sekumpulan Melayu profesional dan intelektual bahawa terdapat jumlah mereka yang murtad tersebut mencapai sehingga 100,000 orang? Di mana Pemuda Umno ketika itu?

Siapakah yang sebenarnya membenarkan kes murtad berleluasa di negara ini dan di Perak khasnya? Siapakah yang cuba mengamalkan kembali  'ancak' di Manong, Kuala Kangsar dulu yang jelas boleh mengelirukan umat Islam? Siapakah yang menganjurkan program-program hiburan ala barat sehingga membawa anak-anak muda lalai kepada Agama? 

Bukankah juga Parti-Parti dalam Komponen BN terutamanya MCA melalui Presidennya yang secara jelas menyerang Islam tanpa ada amaran keras daripada Pemuda Umno? Bagi kami Pemuda Umno tidak ikhlas membela Islam dan memertabatkan Islam di mata orang bukan Islam sedangkan mereka berkuasa melakukannya. Dan sebenarnya Pemuda Umno dan BN sudah ketandusan idea untuk terus menjadi tonggak Umno dan BN.

Ini juga jelas bahawa Pemuda BN ingin meletakkan kegagalan mereka menjaga Islam seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Malaysia sebagai Agama rasmi kepada pihak terutamanya melalui kenyataan Nurul Izzah yang telah diputar belit oleh media tertentu. 

Saya bersedia mencabar Pemuda Umno terutamanya Ketua Pemudanya untuk berdebat di atas kepentingan Islam jika mereka benar-benar ikhlas dan berani untuk bersemuka. Tidak perlu melalui sidang media dan kenyataan media semata-mata dan akhirnya semua tindakan akan merugikan Islam kembali.


KUALA LUMPUR, 7 NOV – PAS menubuhkan satu ‘Sekretariat Jejak’ bagi mencari bekas kerahan dan waris rakyat Malaysia yang terlibat dalam pembinaan landasan maut sepanjang 415km Siam ke Burma pada perang dunia kedua 1942-1946.

Sekretariat ini dipengerusikan Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Seri Nizar Jamaluddin menuntut penjelasan kerajaan berhubung pampasan ‘Wang Darah’ yang diberikan oleh kerajaan Jepun sebagai ganti rugi berjumlah RM207 bilion.

Menurutnya, terdapat satu nota yang disahkan oleh Gabenor Bank Negara bertarikh 13 Disember 2004 berhubung jumlah dana bernilai RM207 bilion.

Justeru, Nizar menuntut satu penjelasan adakah nota berkenaan sahih dan mempunyai kaitan dengan wang berkenaan.

“Ada surat-surat tertentu yang dikeluarkan Kementerian Kewangan kepada persatuan yang mengesahkan wang tersebut dalam simpanan mereka (kerajaan).

“Misalnya surat bertarikh 29 Mac, satu memo daripada Kementerian Kewangan kepada Pengerusi Persatuan Bekas dan Waris Buruh menyatakan bahawa sejumlah RM207 bilion itu diangkat untuk kelulusan kerajaan di mana prosesnya dimaklumkan kepada pejabat Peguam Negara dan peringkat Sumber Manusia.
“Perkara ini disahkan Menteri Kewangan, (wang) masih dalam simpanan. Kalau masih disimpan mengapa tidak diberikan kepada rakyat?” soal Nizar.

Menurut Nizar, seramai 72,000 rakyat Malaya pada ketika itu dikerah dan hanya 30,000 orang daripada mereka yang kembali ke Malaysia sementara selebihnya gagal dijejaki.

Sekembalinya mereka ke tanah air, satu pertubuhan dibentuk yang digelar Persatuan Kebajikan Bekas Dan Waris Buruh Binaan Landasan Kereta Api Siam Ke Burma Tahun 1942-1946.

Mengikut pecahan, jumlah 30,000 ini mellibatkan 60 peratus bangsa Melayu, 20 peratus India, 15 peratus Cina dan 5 peratus bangsa lain. Sekiranya mereka masih hidup, umur mereka di antara 80 hingga 85 tahun.
Jika wang berkenaan diagihkan kepada 30,000 bekas buruh dan waris, mereka bakal menerima pampasan bernilai hampir RM3 juta setiap seorang.

Pada 27 Julai 2011, pihak persatuan menulis satu surat kepada kerajaan bagi menanyakan status wang tersebut dan dimaklumkan bahawa wang itu diserahkan kepada Perbendaharaan Negara.

Jelas Nizar, beliau turut membangkitkan perkara ini pada sesi penggulungan Kementerian Kewangan di Dewan Rakyat namun tidak dijawab oleh Timbalan Menteri Kewangan II, Datuk Husni Mohd Hanadzlah.

Hadir sama ialah Jawatankuasa Strategik dan Isu PAS Negeri iaitu Dr Raja Ahmad Iskandar Al-Hiss, Salman Saleh, Fakhrulrazi Mokhtar dan Safarizal Saleh





Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) mahu Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) lebih tegas dan proaktif dalam menyelesai kemelut berdarah di Syria yang sudah berlarutan hampir 23 bulan.

Pengerusi Lajnah Antarabangsa DPPM, Dr Raja Ahmad Al Hiss berkata, tindakan segera dari OIC mampu menyelamatkan rakyat negara itu khususnya umat Islam daripada dibunuh askar regim Basyar Al Assad.

"OIC tidak boleh hanya mengambil langkah tunggu dan lihat dengan rakyat Syria setiap hari disembelih dan dibunuh dengan kejam meskipun gencatan senjata telah diisytiharkan di negara tersebut menjelang perayaan Aidil Adha.

"Umat Islam mengharapkan supaya OIC berperanan penting bagi mengembalikan keamanan ummah di negara tersebut bahkan di seluruh dunia," katanya dalam satu kenyataan.

Sehingga kini, kemelut Syria telah mengorbankan lebih 30,000 nyawa yang kebanyakannya orang awam.

Raja Ahmad yang juga Naib Ketua DPPM berkata, pihaknya turut menolak keras campurtangan asing khususnya Amerika Syarikat serta negara lain seperti Iran, Rusia dan China dalam kemelut Syria ini.

"DPPM menegaskan, hanya rakyat Syria berhak menentukan kehidupan dan pemimpin negara mereka tanpa campurtangan kuasa dan negara asing.

"Justeru, kerajaan Syria perlu berusaha mengembalikan keamanan di negara tersebut melalui kaedah perdamaian," katanya.

Pada masa sama, beliau turut mendesak kerajaan Jordan memberikan jaminan perlindungan keselamatan terhadap rakyat Syria di kem-kem pelarian di sempadan Jordan yang kian bertambah.


Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) melihat kenyataan terbaru daripada dua bekas Naib Presiden PAS, Dato’ Nakhaie Ahmad dan Dr Hassal Ali supaya Mursyidul Am PAS, YAB Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat digantikan dengan Dr Haron Din sebagai kenyataan mereka yang tertekan dan ingin kembali kepada pangkuan PAS. Mereka ibarat ‘pungguk yang rindukan bulan’, kerana itulah mereka sanggup bersusah payah mencampuri urusan PAS yang sudah tidak ada kena mengena dengan mereka.

Bagi ahli PAS, kedua-dua tokoh ini sama ada YAB Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mahupun Tuan Guru Dr Haron Din adalah tokoh hebat yang telah dipilih mengemudi PAS. PAS mengiktiraf peranan ulama’ dan tahap keilmuan kedua-duanya, kerana itulah mereka telah diangkat sebagai Mursyidul Am dan Timbalan Mursyidul Am PAS.

DPPM mengingatkan kepada kedua-dua individu ini supaya tidak menyibuk dalam urusan dalaman PAS dan mencucuk jarum ke dalam rongga sendi PAS. PAS mempunyai ramai ahli yang bijak pandai dan tahu hala tuju perjuangan gerakan Islam di negara ini. Ahli PAS juga mengenali keperibadian YAB Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagaimana mereka mengenali peribadi tokoh ini dan merasa sayang kepada beliau. Tidak perlu mereka berlagak pandai mahu mengajar ahli-ahli PAS erti perjuangan Islam kerana ahli-ahli PAS sendiri tahu siapa yang layak memimpin PAS.

Sayangnya ahli-ahli PAS kepada YAB Tuan Guru Nik Abdul Aziz adalah kerana sikap ikhlas serta keistiqomahan beliau dalam perjuangan ini. Beliau berada dalam saf perjuangan ini sejak muda dan tidak pernah sedikitpun merasa kecewa, putus asa dan hampa terhadap mana-mana individu dalam parti. Dalam keadaan senang atau susah, menang atau kalah beliau tidak pernah berputus harap pada perjuangan ini apatah lagi untuk berpaling tadah.

Justeru, DPPM meminta agar Datuk Dr Hassan Ali dan Datuk Nakahie Ahmad melupakan hasrat mendesak PAS menggantikan YAB Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik sebagai Mursyidul Am PAS. Adalah lebih baik mereka mendesak UMNO menggantikan Datuk Seri Najib Tun Razak yang dilihat gagal mentadbir dan memimpin negara ini dengan baik .

DR RAJA AHMAD AL HISS
Naib Ketua
Dewan Pemuda PAS Malaysia


 Oleh: Dr Raja Ahmad Iskandar
Koordinator Jawatankuasa Strategik dan Isu PAS Perak

Badan Perhubungan PAS Negeri Perak mengalu-alukan kesudian Kerajaan Negeri Perak dengan kenyataan yang dibuat oleh Datuk Mohammad Zahir Khalid, Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, ICT, Sumber Manusia, Sains dan Teknologi Negeri Perak untuk memberikan penjelasan berhubung pertikaian pengiktirafan program pengajian dan kesahihan penandatangan pada sijil graduan dan  transkrip Kolej Islam Darul Ridzuan (KISDAR) melalui media massa baru-baru ini.

Merujuk muka surat depan akhbar Sinar Harian pada 13 Oktober yang lalu, Datuk Zahir jelas mempelawa mana-mana pihak untuk bersemuka bagi mendapatkan penjelasan di atas beberapa persoalan yang hangat diperkatakan.

Ahkbar Sinar Harian jelas memetik kenyataan Datuk Zahir mempelawa mana-mana pihak untuk tampil bersemuka dengan pihaknya.

Jesteru, kami bersedia untuk mengutarakan persoalan-persoalan dan mendapatkan maklum balas serta kepastian timbulnya masalah yang dihadapan tersebut.

Kami tuntas menyambut ruang untuk mendapat penjelas terus daripada pihak yang bertanggungjawab termasuk Datuk Seri DiRaja Dr Haji Zambry Abdul Kadir sendiri.

Kami inginkan penjelasan berikutan timbul isu yang diperkatakan dan kami sememangnya menunggu penjelasan yang ingin diberikan.

Kami menyerahkan kepada pihak Kerajaan Negeri sama ada melalui Datuk Seri Zambry ataupun Datuk Zahir bagi menetapkan tarikh yang sesuai bagi maksud memberikan penjelasan tersebut.

 Kami berharap Kerajaan Negeri benar-benar serius dan ikhlas untuk memberikan penjelasan dan bukannya mempolitikkan isu pendidikan ini semata-mata.

Kami bertegas, jika pihak Kerajaan Negeri enggan atau memberikan pelbagai alasan bagi kami untuk mendapatkan penjelasan bermakna ada perkara yang ingin disembunyikan oleh Kerajaan Negeri daripada pengetahuan umum.

Kami serius untuk mengadakan pertemuan bagi merungkai persoalan-persoalan yang menjadi tanda tanya penuntut dan Ibubapa pelajar KISDAR!


H.R.H. Samdech Reach Botrei Preah Anoch Norodom Arunrasmy
Royal Embassy of Cambodia
46 Jalan U Thant
55000,  Kuala Lumpur
Malaysia15 October 2012
Fax: 603 4257 1157

CONDOLENCE ON THE DEMISE OF KING NORODON SIHANOUK

I was deeply saddened to learn of King Norodom Sihanouk death and I
would like to express my sincere sympathy to you and your country on
behalf Islamic Party of Malaysia Youth Wing.

The late King Sihanouk
was highly respected by the people and the world alike throughout the
entire world especially South East Asia. He was regarded as a
visionary leader by anyone who ever known him.

King Sihanouk contributions to his country during his years of
dedicated and selfless service were many and varied. He was a major
part of your initial expansion across the country. Believe me, his
contributions to your country will not be forgotten.

Please accept our heartfelt condolences at this difficult time and I
ask you to please pass these sentiments on to your people in Cambodia.

With sincere sympathy,
Dr Raja Ahmad Iskandar Raja Yaacob







Dewan Pemuda PAS Malaysia berpandangan bukan DAP yang menghalang perjuangan PAS menegakkan Islam, sebaliknya Umno yang bersikap sedemikian.

Perjuangan PAS untuk menegakkan syariat Islam selama ini terhalang dengan sikap Umno yang berkuasa.

Ketika ini, DAP tidak memerintah di peringkat pusat.  Yang banyak menghalang kerja PAS untuk menegakkan Islam ini adalah Umno.

Sejak kita merdeka 55 tahun, apa yang Umno tidak buat untuk menghalang PAS untuk tegakkan Islam?

Halangan yang dilakukan Umno itu boleh dibuktikan ketika kerajaan Kelantan meluluskan enakmen undang-undang Islam negeri itu pada 1994.

DAP tidak menghalang dengan kuasa.  Mereka hanya mengeluarkan kenyataan yang bagi kami hanya sebagai satu pandangan yang berbeza.  Yang mana perbezaan itu, Insya-Allah boleh diperbincangkan dari masa ke masa di dalam Pakatan Rakyat.

Pemuda PAS memulakan pecutan terakhir menjelang pilihan raya umum dengan melancarkan roadshow Selamatkan Malaysia ke seluruh negara, selain melancarkan janji-janji anak muda yang ditawarkan Pakatan Rakyat melalui manifestonya.

Pemuda PAS akan menumpukan kepada tiga kerangka besar, meliputi aspek ekonomi, sosial dan pendidikan.



Lajnah Antarabangsa Dewan Pemuda PAS Malaysia (LA DPPM) menyokong penuh perjanjian damai yang akan mengahsilkan satu autonomi bagi rakyat mindanao Bangsamoro. Usaha Kerajaan Malaysia yang berterusan juga untuk membantu menjayakan rundingan tersebut juga adalah satu usaha yang baik. Walaupun kuasa dunia seperti  Amerika Syarikat sering melabelkan MILF sebagai pengganas. Tohmahan dan andaian yang diberikan oleh mereka terhadap kumpulan-kumpulan Islam seperti MILF, Hamas, Ikhwan dan beberapa kumpulan Islam yang lain adalah dilihat seolah-olah mempunyai agenda jahat yang tersirat dan tersurat.
LA DPPM melihat perjanjian damai ini kelak akan memberi nafas baru kepada rantau ASEAN ini bagi mewujudkan zon ekonomi dan percambahan sosio yang sihat.. Umat Islam Mindanao sememangnya bersedia untuk berunding dengan kerajaan Filipina sejak tercetusnya persengketaan di Wilayah tersebut. Pelbagai gejatan senjata dan rundingan telah diadakan sebelum ini namun segalanya menemui jalan buntu setelah pihak kerajaan Filipina dan pihak tentera mencabulinya.
Rakyat Mindanao yang majoritinya beragama Islam dan berasal dari rumpun Melayu nusantara telah lama dinafikan hak mereka dalam pentadbiran. Pelbagai usaha telah dilakukan untuk mereka mendapatkan hak mereka dalam pemerintahan namun tidak diendahkan. Sikap ‘double standard’ kerajaan Filipina yang terdahulu terhadap Bangsa Moro Islam ini telah berlanjutan sejak sekian lama. Kewujudan pelbagai kumpulan Islam disana adalah satu perkembangan yang sihat. Walaupun mereka dilihat seolah tidak bersatu dalam method dan strategi namun misi dan visi rakyat Moro Mindanao adalah sama iaitu untuk mendapatkan hak kesaksamaan dan keadilan terutamanya dalam pemerintahan dan ekonomi. Setelah tidak mendapat tempat dibumi sendiri, rakyatnya bangkit dengan senjata bagi mendapat keadilan. Lantas Barat dan kebanyakan Negara melabelkan pejuang-pejuang ini sebagai ‘pengganas’. Kerajaan Malaysia juga dulu menganggap kumpulan-kumpulan Islam seperti MILF sebagai kumpulan ekstrim yang menolak rundingan dan sebaliknya mengiktiraf MNLF (Moro National Liberation Front/ Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro) yang akhirnya meletak senjata dan berkerjasama dengan kerajaan Filipina. Namun akhirnya mereka tertipu apabila hanya memegang jawatan ‘boneka’ dari Kerjaaan Filipina. MILF meneruskan perjuangan mereka untuk mendapatkan hak dan keadilan. Barat terus menekan mereka sebagai puak pengganas. Malangnya Negara-negara Islam juga seperti dicucuk hidung oleh Amerika Syarikat yang melabel MILF sebagai kumpulan pengganas.
Di Malaysia, hanya PAS yang kekal dengan pendirian sejak dulu yang mengiktiraf  MILF sebagai  pejuang bagi umat Islam Mindanao . Adalah diharapkan dunia Islam yang lain juga akan memberikan sokongan dan pengiktirafan terhadap perjuangan MILF sebagai tanda kepada Kerajaan Filipina bahawa perjuangan rakyat Mindanao melalui MILF adalah jitu dan tulin. LA DPPM berharap Autonomi yang diberikan bukanlah autonomi kosmetik seperti mana autonomi dizaman MNLF sewaktu Nur Misuari yang dilihat hanya dilihat hanya permainan dan janji kosong pihak pemerintah Filipina.
 



Ditulis oleh : Dr Raja Ahmad Iskandar Al-Hiss
Naib Ketua Pemuda PAS Malaysia
  
Kalau rakyat Perak berpeluang melancong ke bandaraya automotif seperti di Toyota, Jepun atau juga di Stuttgart dan di Dresden yang terletak di Jerman, sudah pasti boleh memberikan gambar sebenar bandaraya tersebut.

Di Perak, tanah seluas 4,000 ekar yang dikurniakan kepada Perusahaan Otomobil Nasional (Proton) Berhad pada tahun 1996  melalui perjanjian pembangunan Lembah Bernam antara Perak dan Selangor adalah satu projek maha mega yang boleh dibanggakan.

Kerajaan Negeri Perak sebelum ini telah menyediakan kawasan seluas 1,620 hektar di Hulu Behrang, Tanjung Malim untuk projek Bandar Proton yang dianggarkan menelan belanja RM10 bilion yang akan dibina sebuah bandaraya automotif.

Dahulu hartanah di sekitar kawasan seluas 1,620 hektar di Hulu Behrang, Tanjung Malim terdiri daripada tanah-tanah dusun serta estet kelapa sawit yang dipunyai oleh peneroka Felda ketika itu, Proton telah menggunakan sebanyak 486 hektar untuk kilangnya.

Bandar Proton akan menjadi kawasan pembuatan kereta yang terbesar di negara ini, meliputi program penyelidikan dan pembangunan (R&D), perumahan, rekreasi, institusi pendidikan dan infrastruktur menyeluruh sebagai sebuah bandar automobil.

Proton pada penghujung tahun 2003 dijangka mengeluarkan kereta Proton pertama model terbaru di kilangnya berharga RM 2 bilion dimana kilang barunya tersebut yang menggunakan teknologi bersepadu dan bertaraf dunia akan dapat mengeluarkan 150,000 buah kereta setahun.

Waktu projek ini mula bertunas kira-kira 15 tahun lalu, Proton melalui pelbagai kepakaran menjanjikan sebuah bandar automotif ala-ala bandar automotif luar Negara, Bandar Proton bakal menjadi sebuah bandaraya atau hub automotif pertama yang bersifat “integrated”.

Ketika itu, penawaran unit hartanah merupakan fenomena ekonomi yang berlaku di sana, khususnya di zon pertumbuhan baharu seperti di Bandar Proton, tetapi malangnya zon pertumbuhan ekonomi baharu berhampiran tidak begitu rancak sebagaimana unjuran pakar ketika projek dilancarkan.

Pembinaan kampus pintar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bersaiz ratusan hektar di kawasan strategik Bandar Proton dijangka  menjana lebih banyak kegiatan ekonomi dan inovasi di situ di dalam usaha membangunkan Bandar tersebut

 Namun dilihat pembangunan kampus UPSI juga agak perlahan seperti tiada suntikan semangat dari Kementerian Pengajian Tinggi dan Kerajaan Perak amnya.

Tetapi ianya masih menyimpan segala kegagalan perancangan awal di atas nama ‘Bandar Proton’ yang boleh dikategorikan sebagai ‘Projek Gajah Putih’ walaupun pemilik barunya, DRB Hicom Bhd., telah menyuntik dana lebih RM1 billion.

Ini kerana jika satu pelaburan awal sebanyak RM 10 bilion telah dilaburkan dan hanya sekitar 30 hingga 40 peratus sahaja kejayaan projek maha mega ini, mana mungkin suntikan RM 1 bilion tersebut boleh mengubah lanskap sebenar atas nama ‘Bandar Proton’ tersebut.

Jika diperhalusi perancangan utama pembangunannya, beberapa faktor boleh membantu perkembangan Bandar Proton sebenarnya dengan melihat keperluan utama atau asas bagi menghidupkan suasana bandaraya sepertimana yang diimpikan.

Sudah tentu bagi membangunkan sebuah bandaraya memerlukan persekitaran yang baik selain infrastruktur yang terbaik bagi merancakkan ekonomi selain suntikan yang boleh membantu agar kemampanan pelbagai sektor lain kelak.

Disebabkan itu, bekas Menteri Besar Perak Datuk Seri Ir Haji Mohammad Nizar Jamaluddin pernah mencadangkan pembinaan Low Cost Carrier Terminal (LCCT) di Behrang yang meliputi 1,000 ekar dan terletak 7 kilometer daripada Lebuh Raya PLUS.

Pihak Air Asia Berhad telah bersetuju melabur RM 2 bilion setelah dua kali perbincangan dengan mereka bagi menyemarakkan lagi pembangunan Bandar Proton yang menjadi impian rakyat Perak amnya dan penduduk Behrang yang sudah lama menunggu.

Kini Datuk Seri DiRaja Dr Haji Zambry Abdul Kadir pula telah merancang ingin membawa projek LCCT tersebut ke Utara Perak dan dalam masa yang sama akan merencatkan lagi kerancakkan matlamat membina Bandar Proton yang menjadi impian.

Tindakan Datuk Seri Zambry yang berhasrat untuk membawa cadangan projek LCCT ke Utara Perak disamping boleh membantutkan perancangan asal menyemarakkan Bandar Proton juga dilihat untuk tidak menampakkan idea-idea bernas Kerajaan Pakatan Rakyat dulu dalam merangka pembangunan di Bandar Proton.

Malah jika usaha untuk menyemarakkan Bandar Proton oleh Kerajaan Persekutuan, konsep Pusat Tranformasi Bandar (UTC) adalah pelan utama yang perlu menjadi agenda untuk dimajukan dan bukannya diserahkan kepada badan korporat lainya.

Adalah menjadi impian jika Bandar Proton akan menjadi bandaraya automotif yang bukan hanya hayalan semata-mata tetapi akan menjadi realiti dan bukan omong kosong yang menjadi janji yang tidak ditepati dari mana-mana pentadbir kerajaan negeri sama ada Barisan Nasional atau Pakatan Rakyat!


POH: Ratusan umat Islam berkumpul di Masjid Negeri Ipoh selepas Solat Jumaat bagi membantah penerbitan filem "Innocence of Muslims" yang menghina Rasulullah SAW.

Himpunan tersebut diketuai oleh Naib Ketua Pemuda PAS Malaysia, Dr Raja Ahmad Iskandar Al-Hiss.

Turut hadir bagi menyatakan bantahan terhadap penghinaan Rasulullah itu ialah pelakon serta penyanyi, Abby Abadi.

Raja Ahmad dalam ucapannya menggesa penerbit filem tersebut memohon maaf kepada seluruh umat Islam di seluruh dunia. 

Katanya, PAS akan menganjurkan himpunan bersar-besaran di Kedutaan Amerika sekiranya pihak penerbit filem yang dibiayai oleh Yahudi itu tidak memohon maaf.

“Kami mengutuk sekeras-kerasnya penerbitan filem ini yang membangkitkan kemarahan Umat Islam di seluruh dunia.

“Kami akan mempertahankan kesucian Rasulullah walaupun terpaksa menggadai nyawa,” katanya.

Beliau juga mempersoalkan dimanakah kelibat badan bukan kerajaan (NGO) seperti Perkasa yang senyap dalam isu ini.

“Dimanakah NGO seperti Perkasa yang beria-ria dalam isu lain seperti politik tetapi dalam isu ini mereka senyap tidak menyatakan bantahan,” ujar beliau lagi.

Dalam nada yang sama, Abby Abby melahirkan kekesalan terhadap penerbitan filem tersebut yang disifatnya sangat melampau dan keterlaluan.

Beliau yang juga Timbalan Ketua Pemuda PAS Perak berkata, sebagai seorang umat Islam, beliau sedih kerana seluruh umat Islam tidak bersatu untuk menyatakan bantahan kepada penghinaan ini.

“Saya sangat sedih apabila Nabi yang kita cintai ini dihina dengan pelbagai tuduhan dan sepatutnya seluruh umat Islam turut menyatakan bantahan seperti ini,” katanya dalam nada kesal.

Hadir sama ialah Ketua Penerangan PAS Perak, Ustaz Akmal Kamaruddin; Setiausaha Pemuda PAS Perak, Salman Saleh; Ketua Penerangan Dewan Ulama’ PAS Perak; Ustaz Norazli Musa dan wakil NGO.





 Melayani TPJ PAS Perak, Hj Razman Zakaria dan Adun Bukit Chandan, Dto' Wan Khairil

 Kehadiran Dato' Mahfuz disambut oleh Silat Nisa' Kuala Kangsar
 Berucap di majlis tersebut
 Speaker Perak yang Sah, V Sivakumar turut hadir

 Antara pemimpin Umno yang hadir

Saya selaku Yang Dipertua PAS Kawsan Kuala Kangsar mengucapkan jutaan terima kasih kepada hadirin yang hadir memeriahkan Rumah Terbuka PAS Kawasan Kuala Kangsar terutama tetamu jemputan iaitu Naib Presiden PAS, Dato' Hj Mahfuz Omar.

Tidak dilupakan pemimpin-pemimpin Umno yang turut hadir memeriahkan termasuklah Adun Bukit Chandan dan jawatankuasa Umno Bahagian.


Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) membidas kenyataan  Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mohamad Salleh yang menafikan pasukan keselamatan pilih kasih dengan bertindak terhadap pelajar yang memijak gambar Perdana Menteri tetapi membiarkan insiden sama terhadap pemimpin pembangkang. DPPM sebaliknya tetap menganggap pihak polis sebenarnya mengamalkan dwi standard dalam memastikan keselamatan negara.

Insiden memijak gambar sebenarnya bukan hanya berlaku ke atas PM, pemimpin pembangkang juga diperlakukan sebelum ini. Malah ada gambar YAB Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Menteri Besar Kelantan dikencing suatu ketika dahulu. Apa tindakan polis ketika kejadian tersebut?

Jika pihak polis hanya bertindak setelah mendapat laporan orang ramai, bagaimana pula dengan siri laporan polis yang dibuat oleh Pakatan Rakyat terhadap penyelewengan, penipuan,  rasuah, kezaliman, serta kenyataan-kenyataan yang berunsur menghasut, memfitnah, mengugut, biadap dan lain-lain lagi yang dilakukan oleh pemimpin BN? Apakah pihak polis telah bertindak dengan cepat dan agresif sebagaimana mereka bertindak ke atas laporan insiden memijak gambar PM?

DPPM juga mempersoalkan, jika insiden pijak gambar PM dijadikan suatu kesalahan serius, bagaimana pula dengan insiden menyerang pemimpin Pakatan Rakyat di sebuah masjid di Alor Setar beberapa hari lalu? Apakah menyerang individu dengan niat untuk mencederakan dalam insititusi mulia seperti masjid tidak dianggap serius? Adakah setangkas itu pihak polis bertindak menangkap penyerang yang bertindak menyimbah cat ke rumah pemimpin PAS seperti Mazlan Aliman, membaling Molotov Cocktail ke rumah Haji Mohamad Sabu serta cubaan membakar rumah Haji Dzulkifli Ahmad di Johor?

Jika demikian keadaannya, DPPM menyeru pimpinan Pakatan Rakyat Kedah atau orang ramai untuk membuat laporan polis insiden Datuk Seri Anwar Ibrahim diserang di Alor Setar, Kedah. DPPM juga menyeru orang ramai untuk tampil membuat laporan terhadap insiden gambar pemimpin Pakatan Rakyat dipijak serta insiden gambar YAB Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz dihina dan dikencing oleh individu tertentu.

DPPM mahu rakyat menjadi saksi  dengan melihat sejauh mana telus dan tidak pilih kasihnya pihak polis dalam menjalankan siasatan terhadap kesemua insiden tersebut. Pihak media pula dijadikan sandaran sejauh mana liputan adil yang diberikan terhadap insiden menghina pemimpin PR sama seperti memijak gambar PM.


Saya cukup kesal di atas peranan yang sepatutnya dimainkan oleh Institut Darul Ridzuan (IDR) sebuah agensi Kerajaan Negeri Perak yang berfungsi sebagai 'think tank'  kepada kerajaan negeri terutamanya bagi peningkatan ekonomi negeri yang diberikan peruntukan kewangan oleh kerajaan negeri seolah-oleh hilang fokus peranan utamanya sebenarnya. 

Kami di peringkat Jawatankuasa Strategik dan Isu PAS Perak merasakan pelaburan terhadap penggunaan logo ‘Perak Aman Jaya’ dihadapan jersi pemain Pasukan Seladang Negeri Perak bagi saingan Piala Malaysia baru-baru ini mendapat reaksi negatif daripada peminat bolasepak tempatan sebenarnya berikutan pretasi Pasukan Seladang yang kurang memuaskan.

Dimana Pasukan Seladang menunjukkan pretasi yang begitu teruk dalam saingan Piala Malaysia pada saingan kumpulan kini.
 
Apa yang ingin ketengahkan adalah, berapakah kos yang disalurkan oleh IDR bagi penggunaan logo pada jersi pemain tersebut? Jika Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) boleh melupuskan hutangnya semenjak tahun 2003 dengan Persatuan Bolasepak Negeri Perak (PAFA) berjumlah RM 800,000 bagi tujuan yang sama untuk saingan Liga Super tahun ini.


Oleh kerana pelaburan tersebut, bahang Sambutan Hari Kemerdekaan Peringkat Negeri Perak tahun ini muram antaranya Kempen Kibarkan Jalur Gemilang tidak sehebat tahun-tahun sebelumnya. Tahun sebelum ini, kita boleh melihat sumbangan khas Jalur Gemilang kenderaan diserahkan oleh Kerajaan Negeri Perak tetapi pada kali ini tidak pula diberikan. Ini melembabkan suasana sambutan pada kali ini dan ianya timbul tanda tanya rakyat. 

Kami juga merasakan hilangnya fokus IDR di dalam meletakkan keutamaan disetiap pelaburannya serta perancangannya bagi meningkatkan imej dan kebanggaan rakyat terhadap Negeri yang dicintai!

Kami merasakan fungsi dan peranan IDR semakin meleset dan jauh seolah-olah projek dan programnya lebih bersifat 'popularis' dan tidak mempunyai daya intelek dan daya saing. Sewajarnya IDR yang sedia ada berperanan untuk memajukan negeri berdasarkan kajian saintifik yang wajar bukan seperti hasil strategi terkininya iaitu 'meletakkan logo Aman Jaya' sebagai strategi untuk memajukan Perak.


Saya merakamkan kekecewaan tarhadap pemerintahan Umno / Barisan Nasional (BN) di dalam memperjuangkan semangat kemerdekaan tanahair Malaysia yang sudah 55 tahun mencapai kemerdekaan daripada kuasa penjajah berikutan hilangnya semangat rakyat mengibarkan jalur gemilang menjelangnya Sambutan Hari Kemerdekaan Negara kita pada tahun ini. 

Pemantauan yang telah dilakukan, rakyat seolah-olah tidak perihatin mengibarkan jalur gemilang di seluruh negara walaupun Negara kini telah 55 tahun merdeka.

Saya merasakan semangat mengibarkan jalur gemilang ini berikutan cara dan pendekatan Umno / BN yang telah memerintah lebih 55 tahun negara dengan cara yang menyebabkan rakyat mula sedar bahawa sambutan kemerdekaan negera ini seolah-olah menyampaikan mesej untuk BN terus memerintah negara sahaja. 

Bahkan dalam sejarah apabila tema sambutan kemerdekaan negara kali ini mengambil tema daripada Umno iaitu ‘Janji Ditetapi’. Bekas Presiden MIC yang juga bekas Menteri yang paling lama iaitu, Dato' Seri S. Samy Vellu juga menjadikan tema sambutan sebagai bahan jenaka yang amat memalukan.

Kami juga melihat banyak lagi kelemahan yang sengaja diabaikan oleh BN walaupun rakyat telah memberikan ruang lebih 55 tahun memerintah. Golongan orang muda juga kurang mendapat perhatian termasuklah dalam ruangan pembelajaran seperti Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang menunjukkan BN tidak serius membela orang muda. 

Saya juga merasakan bagaimana isu sosial dikalangan orang muda yang masih tinggi yang tidak menjadi agenda BN di dalam memastikan orang muda bebas daripada unsur-unsur yang merosakkan moral mereka. 

Ini adalah beberapa faktor yang menyebabkan kelalaian pelbagai lapisan masyarakat di dalam memberikan semangat kepada mereka terhadap kemerdekaan negara kita.

Bahkan rakyat perlukan semangat baru untuk membina negara yang semangkin hari semangkin dikikis oleh semangat untuk cintakan negara kita. Tiupan semangat baru perlu diberikan kepada rakyat bagi membangunkan negara kita mengikut lanskap kemajuan dan keharmonian serta kebebasan daripada sistem penjajahan yang selama ini masih dibelanggu oleh rakyat dalam negara kita tanpa disedari. Ayuh rakyat, kita kibarkan jalur gemilang demi menunjukkan semangat cintakan negara dan membuat satu perubahan penting bagi negara kita di masa hadapan dan untuk generasi yang akan datang demi negara tercinta.


DR. RAJA AHMAD ISKANDAR AL-HISS
Naib Ketua,
 Dewan Pemuda PAS Malaysia.


Saya melihat kenyataan Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Karpal Singh pada 20 Ogos 2012 berkaitan dengan hukum hudud sebenarnya lebih merupakan manifestasi kejahilan beliau terhadap bagaimana undang-undang jenayah Islam (Islamic Criminal Law) beroperasi secara keseluruhannya. Malah Karpal antara lain mengatakan perlaksanaan hudud kemungkinan tidak berupaya untuk mengurangkan jenayah bahkan mungkin menggalakkan lagi perlakuan jenayah disebabkan beban pembuktian (burden of proof) yang tinggi yang diperlukan bagi menyabitkan sesuatu kes jenayah di bawah hudud. Justeru, berdasarkan kenyataan tersebut Karpal mungkin beranggapan seseorang pelaku jenayah itu akan dilepaskan begitu sahaja sekiranya kes pendakwaan gagal membuktikan kes menurut beban pembuktian yang diperlukan bagi sesuatu kes hudud.

Di sini jelas kita melihat kekeliruan Karpal oleh kerana beliau melihat undang-undang Islam menurut kacamata sistem undang-undang jenayah yang diamalkan di negara kita. Karpal memang diakui pakar dan merupakan salah seorang peguam jenayah yang terbaik di Malaysia, tetapi undang-undang Islam bukan bidang beliau. Memang benar untuk menyabitkan sesuatu kesalahan di bawah hudud, pihak pendakwa perlu membuktikan kes dengan melampaui sebarang keraguan sama sekali (beyond any shadow of doubt). Standard pembuktian ini adalah jauh lebih tinggi dan sukar untuk dicapai berbanding dengan pembuktian melampaui sebarang keraguan yang munasabah (beyond reasonable doubt) sebagaimana di dalam kes kesalahan-kesalahan jenayah yang lain.

Sebagai contoh, di dalam kes zina atau rogol (zina bil jabr), untuk membolehkan pelaku kesalahan tersebut disabitkan oleh mahkamah, pihak pendakwa perlu mengemukakan empat orang saksi yang menyaksikan perlakuan jenayah terbabit. Penyaksian dari saksi-saksi inilah yang dipanggil 'syahadah' iaitu keterangan dari saksi yang melihat sendiri perbuatan jenayah tersebut. Namun, apabila tiada saksi yang melihat sendiri atau bilangan saksi yang dikemukakan tidak mencukupi atau keterangan yang dikemukakan hanyalah keterangan dalam bentuk 'qarinah' (circumstantial evidence) seperti DNA atau keterangan klinikal dari doktor pakar yang melakukan pemeriksaan, maka pesalah tersebut tidak akan disabitkan atau dijatuhkan dengan hukuman sebagaimana yang sepatutnya untuk kesalahan di bawah hukum hudud yang telah sedia ditetapkan di dalam Al Quran dan Hadis.

Tetapi, ini bukan bermakna pesalah tersebut akan dilepaskan begitu sahaja tanpa dijatuhkan sebarang hukuman oleh mahkamah sebagaimana yang difahami oleh Karpal. Di dalam keadaan ini, pesalah tersebut akan tetap didapati bersalah dan boleh dijatuhkan hukuman menurut kaedah undang-undang 'Takzir' yang mana kadar atau bentuk hukumannya adalah berdasarkan kepada pertimbangan mahkamah. Menurut kaedah fiqh jinayah di dalam Islam, kuasa mahkamah untuk menjatuhkan hukuman di bawah kategori takzir ini amatlah luas, iaitu dari sekadar hukuman berbentuk amaran hinggalah kepada hukuman mati, dengan melihat kepada kesetimpalan (proportionality) jenayah yang dilakukan dan juga faktor-faktor lain sebagaimana yang digariskan oleh ulamak-ulamak Islam.

Justeru, berdasarkan penerangan diatas, kebimbangan yang dibangkitkan Karpal bahawa pelaksanaan hudud tidak akan membanteras jenayah dan mungkin akan menggalakkan lagi pelakuan jenayah, adalah tidak berasas sama sekali. Adalah menjadi tanggunjawab kepada setiap umat Islam yang meyakini kesyumulan ajaran Islam untuk memperbetulkan setiap salah faham dan kekeliruan yang timbul berkaitan dengan apa jua aspek di dalam ajaran Islam. Saya melihat apa yang dibangkitkan Karpal adalah semata-mata dari aspek teknikaliti undang-undang hudud, terutama yang berkait dengan aspek substantif undang-undang jenayah Islam itu sendiri itu dan juga aspek undang-undang keterangan (law of evidence).

Isu yang dibangkitkan ini amat biasa didengar terutama dari kalangan mereka yang sedia terlatih di dalam bidang undang-undang sivil dan kemudiannya cuba memahami atau mempelajari sistem undang-undang Islam. Oleh itu, kita tidak wajar mengatakan ini sebagai suatu penghinaan kepada Islam tetapi pada masa yang sama kita gagal memberikan penjelasan yang meyakinkan bagi mempertahankan undang-undang Islam. Saya percaya agama Islam adalah agama yang tegak di atas hujah yang haq. Apabila individu seperti Karpal membangkitkan perkara sebegini, ianya harus dilihat sebagai peluang keemasan kepada kita untuk bangkit menjelaskan hakikat sebenar berkaitan hukum Islam khususnya hudud. Dalam konteks ini, kami mengalu-alukan dan bersedia untuk berdialog dan bertemu dengan siapa sahaja bagi menjelsak sebarang kekeliruan yang timbul, bukan sahaja apa yang berkaitan dengan hudud, tetapi apa jua aspek di dalam ajaran Islam.


RAJA AHMAD AL-HISS
Naib Ketua,
Dewan Pemuda PAS Malaysia.