Saya melihat kenyataan Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Karpal Singh pada 20 Ogos 2012 berkaitan dengan hukum hudud sebenarnya lebih merupakan manifestasi kejahilan beliau terhadap bagaimana undang-undang jenayah Islam (Islamic Criminal Law) beroperasi secara keseluruhannya. Malah Karpal antara lain mengatakan perlaksanaan hudud kemungkinan tidak berupaya untuk mengurangkan jenayah bahkan mungkin menggalakkan lagi perlakuan jenayah disebabkan beban pembuktian (burden of proof) yang tinggi yang diperlukan bagi menyabitkan sesuatu kes jenayah di bawah hudud. Justeru, berdasarkan kenyataan tersebut Karpal mungkin beranggapan seseorang pelaku jenayah itu akan dilepaskan begitu sahaja sekiranya kes pendakwaan gagal membuktikan kes menurut beban pembuktian yang diperlukan bagi sesuatu kes hudud.

Di sini jelas kita melihat kekeliruan Karpal oleh kerana beliau melihat undang-undang Islam menurut kacamata sistem undang-undang jenayah yang diamalkan di negara kita. Karpal memang diakui pakar dan merupakan salah seorang peguam jenayah yang terbaik di Malaysia, tetapi undang-undang Islam bukan bidang beliau. Memang benar untuk menyabitkan sesuatu kesalahan di bawah hudud, pihak pendakwa perlu membuktikan kes dengan melampaui sebarang keraguan sama sekali (beyond any shadow of doubt). Standard pembuktian ini adalah jauh lebih tinggi dan sukar untuk dicapai berbanding dengan pembuktian melampaui sebarang keraguan yang munasabah (beyond reasonable doubt) sebagaimana di dalam kes kesalahan-kesalahan jenayah yang lain.

Sebagai contoh, di dalam kes zina atau rogol (zina bil jabr), untuk membolehkan pelaku kesalahan tersebut disabitkan oleh mahkamah, pihak pendakwa perlu mengemukakan empat orang saksi yang menyaksikan perlakuan jenayah terbabit. Penyaksian dari saksi-saksi inilah yang dipanggil 'syahadah' iaitu keterangan dari saksi yang melihat sendiri perbuatan jenayah tersebut. Namun, apabila tiada saksi yang melihat sendiri atau bilangan saksi yang dikemukakan tidak mencukupi atau keterangan yang dikemukakan hanyalah keterangan dalam bentuk 'qarinah' (circumstantial evidence) seperti DNA atau keterangan klinikal dari doktor pakar yang melakukan pemeriksaan, maka pesalah tersebut tidak akan disabitkan atau dijatuhkan dengan hukuman sebagaimana yang sepatutnya untuk kesalahan di bawah hukum hudud yang telah sedia ditetapkan di dalam Al Quran dan Hadis.

Tetapi, ini bukan bermakna pesalah tersebut akan dilepaskan begitu sahaja tanpa dijatuhkan sebarang hukuman oleh mahkamah sebagaimana yang difahami oleh Karpal. Di dalam keadaan ini, pesalah tersebut akan tetap didapati bersalah dan boleh dijatuhkan hukuman menurut kaedah undang-undang 'Takzir' yang mana kadar atau bentuk hukumannya adalah berdasarkan kepada pertimbangan mahkamah. Menurut kaedah fiqh jinayah di dalam Islam, kuasa mahkamah untuk menjatuhkan hukuman di bawah kategori takzir ini amatlah luas, iaitu dari sekadar hukuman berbentuk amaran hinggalah kepada hukuman mati, dengan melihat kepada kesetimpalan (proportionality) jenayah yang dilakukan dan juga faktor-faktor lain sebagaimana yang digariskan oleh ulamak-ulamak Islam.

Justeru, berdasarkan penerangan diatas, kebimbangan yang dibangkitkan Karpal bahawa pelaksanaan hudud tidak akan membanteras jenayah dan mungkin akan menggalakkan lagi pelakuan jenayah, adalah tidak berasas sama sekali. Adalah menjadi tanggunjawab kepada setiap umat Islam yang meyakini kesyumulan ajaran Islam untuk memperbetulkan setiap salah faham dan kekeliruan yang timbul berkaitan dengan apa jua aspek di dalam ajaran Islam. Saya melihat apa yang dibangkitkan Karpal adalah semata-mata dari aspek teknikaliti undang-undang hudud, terutama yang berkait dengan aspek substantif undang-undang jenayah Islam itu sendiri itu dan juga aspek undang-undang keterangan (law of evidence).

Isu yang dibangkitkan ini amat biasa didengar terutama dari kalangan mereka yang sedia terlatih di dalam bidang undang-undang sivil dan kemudiannya cuba memahami atau mempelajari sistem undang-undang Islam. Oleh itu, kita tidak wajar mengatakan ini sebagai suatu penghinaan kepada Islam tetapi pada masa yang sama kita gagal memberikan penjelasan yang meyakinkan bagi mempertahankan undang-undang Islam. Saya percaya agama Islam adalah agama yang tegak di atas hujah yang haq. Apabila individu seperti Karpal membangkitkan perkara sebegini, ianya harus dilihat sebagai peluang keemasan kepada kita untuk bangkit menjelaskan hakikat sebenar berkaitan hukum Islam khususnya hudud. Dalam konteks ini, kami mengalu-alukan dan bersedia untuk berdialog dan bertemu dengan siapa sahaja bagi menjelsak sebarang kekeliruan yang timbul, bukan sahaja apa yang berkaitan dengan hudud, tetapi apa jua aspek di dalam ajaran Islam.


RAJA AHMAD AL-HISS
Naib Ketua,
Dewan Pemuda PAS Malaysia.


Leave a Reply