Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) melihat kenyataan terbaru daripada dua bekas Naib Presiden PAS, Dato’ Nakhaie Ahmad dan Dr Hassal Ali supaya Mursyidul Am PAS, YAB Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat digantikan dengan Dr Haron Din sebagai kenyataan mereka yang tertekan dan ingin kembali kepada pangkuan PAS. Mereka ibarat ‘pungguk yang rindukan bulan’, kerana itulah mereka sanggup bersusah payah mencampuri urusan PAS yang sudah tidak ada kena mengena dengan mereka.

Bagi ahli PAS, kedua-dua tokoh ini sama ada YAB Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mahupun Tuan Guru Dr Haron Din adalah tokoh hebat yang telah dipilih mengemudi PAS. PAS mengiktiraf peranan ulama’ dan tahap keilmuan kedua-duanya, kerana itulah mereka telah diangkat sebagai Mursyidul Am dan Timbalan Mursyidul Am PAS.

DPPM mengingatkan kepada kedua-dua individu ini supaya tidak menyibuk dalam urusan dalaman PAS dan mencucuk jarum ke dalam rongga sendi PAS. PAS mempunyai ramai ahli yang bijak pandai dan tahu hala tuju perjuangan gerakan Islam di negara ini. Ahli PAS juga mengenali keperibadian YAB Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagaimana mereka mengenali peribadi tokoh ini dan merasa sayang kepada beliau. Tidak perlu mereka berlagak pandai mahu mengajar ahli-ahli PAS erti perjuangan Islam kerana ahli-ahli PAS sendiri tahu siapa yang layak memimpin PAS.

Sayangnya ahli-ahli PAS kepada YAB Tuan Guru Nik Abdul Aziz adalah kerana sikap ikhlas serta keistiqomahan beliau dalam perjuangan ini. Beliau berada dalam saf perjuangan ini sejak muda dan tidak pernah sedikitpun merasa kecewa, putus asa dan hampa terhadap mana-mana individu dalam parti. Dalam keadaan senang atau susah, menang atau kalah beliau tidak pernah berputus harap pada perjuangan ini apatah lagi untuk berpaling tadah.

Justeru, DPPM meminta agar Datuk Dr Hassan Ali dan Datuk Nakahie Ahmad melupakan hasrat mendesak PAS menggantikan YAB Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik sebagai Mursyidul Am PAS. Adalah lebih baik mereka mendesak UMNO menggantikan Datuk Seri Najib Tun Razak yang dilihat gagal mentadbir dan memimpin negara ini dengan baik .

DR RAJA AHMAD AL HISS
Naib Ketua
Dewan Pemuda PAS Malaysia


Leave a Reply