Ditulis oleh : Dr Raja Ahmad Iskandar Al-Hiss
Naib Ketua Pemuda PAS Malaysia
  
Kalau rakyat Perak berpeluang melancong ke bandaraya automotif seperti di Toyota, Jepun atau juga di Stuttgart dan di Dresden yang terletak di Jerman, sudah pasti boleh memberikan gambar sebenar bandaraya tersebut.

Di Perak, tanah seluas 4,000 ekar yang dikurniakan kepada Perusahaan Otomobil Nasional (Proton) Berhad pada tahun 1996  melalui perjanjian pembangunan Lembah Bernam antara Perak dan Selangor adalah satu projek maha mega yang boleh dibanggakan.

Kerajaan Negeri Perak sebelum ini telah menyediakan kawasan seluas 1,620 hektar di Hulu Behrang, Tanjung Malim untuk projek Bandar Proton yang dianggarkan menelan belanja RM10 bilion yang akan dibina sebuah bandaraya automotif.

Dahulu hartanah di sekitar kawasan seluas 1,620 hektar di Hulu Behrang, Tanjung Malim terdiri daripada tanah-tanah dusun serta estet kelapa sawit yang dipunyai oleh peneroka Felda ketika itu, Proton telah menggunakan sebanyak 486 hektar untuk kilangnya.

Bandar Proton akan menjadi kawasan pembuatan kereta yang terbesar di negara ini, meliputi program penyelidikan dan pembangunan (R&D), perumahan, rekreasi, institusi pendidikan dan infrastruktur menyeluruh sebagai sebuah bandar automobil.

Proton pada penghujung tahun 2003 dijangka mengeluarkan kereta Proton pertama model terbaru di kilangnya berharga RM 2 bilion dimana kilang barunya tersebut yang menggunakan teknologi bersepadu dan bertaraf dunia akan dapat mengeluarkan 150,000 buah kereta setahun.

Waktu projek ini mula bertunas kira-kira 15 tahun lalu, Proton melalui pelbagai kepakaran menjanjikan sebuah bandar automotif ala-ala bandar automotif luar Negara, Bandar Proton bakal menjadi sebuah bandaraya atau hub automotif pertama yang bersifat “integrated”.

Ketika itu, penawaran unit hartanah merupakan fenomena ekonomi yang berlaku di sana, khususnya di zon pertumbuhan baharu seperti di Bandar Proton, tetapi malangnya zon pertumbuhan ekonomi baharu berhampiran tidak begitu rancak sebagaimana unjuran pakar ketika projek dilancarkan.

Pembinaan kampus pintar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bersaiz ratusan hektar di kawasan strategik Bandar Proton dijangka  menjana lebih banyak kegiatan ekonomi dan inovasi di situ di dalam usaha membangunkan Bandar tersebut

 Namun dilihat pembangunan kampus UPSI juga agak perlahan seperti tiada suntikan semangat dari Kementerian Pengajian Tinggi dan Kerajaan Perak amnya.

Tetapi ianya masih menyimpan segala kegagalan perancangan awal di atas nama ‘Bandar Proton’ yang boleh dikategorikan sebagai ‘Projek Gajah Putih’ walaupun pemilik barunya, DRB Hicom Bhd., telah menyuntik dana lebih RM1 billion.

Ini kerana jika satu pelaburan awal sebanyak RM 10 bilion telah dilaburkan dan hanya sekitar 30 hingga 40 peratus sahaja kejayaan projek maha mega ini, mana mungkin suntikan RM 1 bilion tersebut boleh mengubah lanskap sebenar atas nama ‘Bandar Proton’ tersebut.

Jika diperhalusi perancangan utama pembangunannya, beberapa faktor boleh membantu perkembangan Bandar Proton sebenarnya dengan melihat keperluan utama atau asas bagi menghidupkan suasana bandaraya sepertimana yang diimpikan.

Sudah tentu bagi membangunkan sebuah bandaraya memerlukan persekitaran yang baik selain infrastruktur yang terbaik bagi merancakkan ekonomi selain suntikan yang boleh membantu agar kemampanan pelbagai sektor lain kelak.

Disebabkan itu, bekas Menteri Besar Perak Datuk Seri Ir Haji Mohammad Nizar Jamaluddin pernah mencadangkan pembinaan Low Cost Carrier Terminal (LCCT) di Behrang yang meliputi 1,000 ekar dan terletak 7 kilometer daripada Lebuh Raya PLUS.

Pihak Air Asia Berhad telah bersetuju melabur RM 2 bilion setelah dua kali perbincangan dengan mereka bagi menyemarakkan lagi pembangunan Bandar Proton yang menjadi impian rakyat Perak amnya dan penduduk Behrang yang sudah lama menunggu.

Kini Datuk Seri DiRaja Dr Haji Zambry Abdul Kadir pula telah merancang ingin membawa projek LCCT tersebut ke Utara Perak dan dalam masa yang sama akan merencatkan lagi kerancakkan matlamat membina Bandar Proton yang menjadi impian.

Tindakan Datuk Seri Zambry yang berhasrat untuk membawa cadangan projek LCCT ke Utara Perak disamping boleh membantutkan perancangan asal menyemarakkan Bandar Proton juga dilihat untuk tidak menampakkan idea-idea bernas Kerajaan Pakatan Rakyat dulu dalam merangka pembangunan di Bandar Proton.

Malah jika usaha untuk menyemarakkan Bandar Proton oleh Kerajaan Persekutuan, konsep Pusat Tranformasi Bandar (UTC) adalah pelan utama yang perlu menjadi agenda untuk dimajukan dan bukannya diserahkan kepada badan korporat lainya.

Adalah menjadi impian jika Bandar Proton akan menjadi bandaraya automotif yang bukan hanya hayalan semata-mata tetapi akan menjadi realiti dan bukan omong kosong yang menjadi janji yang tidak ditepati dari mana-mana pentadbir kerajaan negeri sama ada Barisan Nasional atau Pakatan Rakyat!


Leave a Reply