Dewan Pemuda PAS Negeri Perak menempelak Pergerakan Pemuda Umno Negeri Perak dan Pergerakan Pemuda Barisan Nasional (BN) Negeri Perak yang mencabar agar menyatakan pendirian berikutan  kenyataan Nurul Izzah Anwar, Naib Presiden PKR yang dikatakan membenarkan kejadian murtad oleh umat Islam di Malaysia. 

Persoalan mudah kami, siapakah yang telah berkuasa memerintah negara Malaysia lebih 50 tahun? Bukankah sebelum ini pada tahun 2006 kenyataan daripada Tan Sri (Dr) Haji Harussani Zakaria, Mufti Kerajaan Negeri Perak telah mengatakan menerima laporan menerusi kajian sekumpulan Melayu profesional dan intelektual bahawa terdapat jumlah mereka yang murtad tersebut mencapai sehingga 100,000 orang? Di mana Pemuda Umno ketika itu?

Siapakah yang sebenarnya membenarkan kes murtad berleluasa di negara ini dan di Perak khasnya? Siapakah yang cuba mengamalkan kembali  'ancak' di Manong, Kuala Kangsar dulu yang jelas boleh mengelirukan umat Islam? Siapakah yang menganjurkan program-program hiburan ala barat sehingga membawa anak-anak muda lalai kepada Agama? 

Bukankah juga Parti-Parti dalam Komponen BN terutamanya MCA melalui Presidennya yang secara jelas menyerang Islam tanpa ada amaran keras daripada Pemuda Umno? Bagi kami Pemuda Umno tidak ikhlas membela Islam dan memertabatkan Islam di mata orang bukan Islam sedangkan mereka berkuasa melakukannya. Dan sebenarnya Pemuda Umno dan BN sudah ketandusan idea untuk terus menjadi tonggak Umno dan BN.

Ini juga jelas bahawa Pemuda BN ingin meletakkan kegagalan mereka menjaga Islam seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Malaysia sebagai Agama rasmi kepada pihak terutamanya melalui kenyataan Nurul Izzah yang telah diputar belit oleh media tertentu. 

Saya bersedia mencabar Pemuda Umno terutamanya Ketua Pemudanya untuk berdebat di atas kepentingan Islam jika mereka benar-benar ikhlas dan berani untuk bersemuka. Tidak perlu melalui sidang media dan kenyataan media semata-mata dan akhirnya semua tindakan akan merugikan Islam kembali.


KUALA LUMPUR, 7 NOV – PAS menubuhkan satu ‘Sekretariat Jejak’ bagi mencari bekas kerahan dan waris rakyat Malaysia yang terlibat dalam pembinaan landasan maut sepanjang 415km Siam ke Burma pada perang dunia kedua 1942-1946.

Sekretariat ini dipengerusikan Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Seri Nizar Jamaluddin menuntut penjelasan kerajaan berhubung pampasan ‘Wang Darah’ yang diberikan oleh kerajaan Jepun sebagai ganti rugi berjumlah RM207 bilion.

Menurutnya, terdapat satu nota yang disahkan oleh Gabenor Bank Negara bertarikh 13 Disember 2004 berhubung jumlah dana bernilai RM207 bilion.

Justeru, Nizar menuntut satu penjelasan adakah nota berkenaan sahih dan mempunyai kaitan dengan wang berkenaan.

“Ada surat-surat tertentu yang dikeluarkan Kementerian Kewangan kepada persatuan yang mengesahkan wang tersebut dalam simpanan mereka (kerajaan).

“Misalnya surat bertarikh 29 Mac, satu memo daripada Kementerian Kewangan kepada Pengerusi Persatuan Bekas dan Waris Buruh menyatakan bahawa sejumlah RM207 bilion itu diangkat untuk kelulusan kerajaan di mana prosesnya dimaklumkan kepada pejabat Peguam Negara dan peringkat Sumber Manusia.
“Perkara ini disahkan Menteri Kewangan, (wang) masih dalam simpanan. Kalau masih disimpan mengapa tidak diberikan kepada rakyat?” soal Nizar.

Menurut Nizar, seramai 72,000 rakyat Malaya pada ketika itu dikerah dan hanya 30,000 orang daripada mereka yang kembali ke Malaysia sementara selebihnya gagal dijejaki.

Sekembalinya mereka ke tanah air, satu pertubuhan dibentuk yang digelar Persatuan Kebajikan Bekas Dan Waris Buruh Binaan Landasan Kereta Api Siam Ke Burma Tahun 1942-1946.

Mengikut pecahan, jumlah 30,000 ini mellibatkan 60 peratus bangsa Melayu, 20 peratus India, 15 peratus Cina dan 5 peratus bangsa lain. Sekiranya mereka masih hidup, umur mereka di antara 80 hingga 85 tahun.
Jika wang berkenaan diagihkan kepada 30,000 bekas buruh dan waris, mereka bakal menerima pampasan bernilai hampir RM3 juta setiap seorang.

Pada 27 Julai 2011, pihak persatuan menulis satu surat kepada kerajaan bagi menanyakan status wang tersebut dan dimaklumkan bahawa wang itu diserahkan kepada Perbendaharaan Negara.

Jelas Nizar, beliau turut membangkitkan perkara ini pada sesi penggulungan Kementerian Kewangan di Dewan Rakyat namun tidak dijawab oleh Timbalan Menteri Kewangan II, Datuk Husni Mohd Hanadzlah.

Hadir sama ialah Jawatankuasa Strategik dan Isu PAS Negeri iaitu Dr Raja Ahmad Iskandar Al-Hiss, Salman Saleh, Fakhrulrazi Mokhtar dan Safarizal Saleh